Monday, June 21, 2010

UMNO Cheras cadangkan nama Jalan Ampang ditukarkan ke Jalan Tun Dr. Mahathir Mohamad

Pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Cheras, ketuanya Datuk Wira Syed Ali Al Habshee mencadangkan agar nama Jalan Ampang ditukarkan ke Jalan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur juga ditukarkan ke Lapangan Terbang Dr. Mahathir - Dr. Siti Hasmah. Turut hadir pada persidangan itu ialah isteri Tun Mahathir Mohamad, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Katanya lagi, "Kita ada Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Razak, Jalan Tun Hussein Onn. Kita ada Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR), Universitu Tun Abdul Razak (UniTAR), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM)". Cadangan-cadangan tersebut adalah untuk memperingati jasa Tun Dr. Mahathir yang telah memimpin negara selama 22 tahun.

"Tun mahu atau tidak, setuju atau tak setuju, kita sebagai rakyat serta pemimpin negara harus mengenang jasa beliau," tambahnya.

Jalan Ampang telah mempunyai sejarahnya juga. Walaupun jalan tersebut adalah antara jalan yang tidak pernah diubahnya, tetapi jalan ini telah menjadi jalan yang terkenal kerana terletak berhampiran tempat-tempat yang dikenali seperti Menara Berkembar Petronas dan juga kebanyakkan duta-duta negara asing. Jalan Ampang juga merupakan jalan yang terpanjang di Semenanjung Malaysia (tidak termasuk lebuhraya-lebuhraya di Semenanjung).

Saya tidak mempunyai bantahan sekiranya mereka (UMNO ataupun pihak kerajaan) untuk mengubah nama jalan tetapi bukan Jalan Ampang. Saya sendiri berasa bangga dengan nama Jalan Ampang kerana saya juga merupakan salah seorang penduduk Kampung Berembang (sekarang tapak takungan air banjir SMART). Ia juga tidak bermakna saya tidak menghormati Tun Dr. Mahathir (saya amat menghormati beliau semasa beliau masih menjadi Perdana Menteri dan saya masih berharap beliau dapat membantu rakyat Malaysia).

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merupakan mercu tanda dan tempat pendaratan penumpang-penumpang dari negara luar. Cuba bayangkan sekiranya mat saleh datang ke negara ini melalui KLIA dan nama KLIA diubah namanya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tun Dr. Mahathir Mohamad atau Lapangan Terbang Antarabangsa Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali. Pasti mereka tidak dapat ingat keseluruhan nama lapangan terbang itu. Bahkan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah juga mempunyai nama yang panjang. Adakah Malaysia mahu memecahkan "Rekod Nama Lapangan Terbang Terpanjang di Dunia"?

Tidak faham juga mengapakah UMNO Cheras secara tiba-tiba menyentuh tempat yang bukan dibawah kawasan mereka sedangkan Jalan Cheras juga merupakan salah satu jalan yang dikenali dan juga terletak di kawasan mereka? Mengapakah Jalan Ampang menjadi sasaran? Memandangkan mereka sudah mencadangkan perkara ini, mereka juga tidak akan terlupa dengan mengubah jalan-jalan lain ke Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Daripada mengubah nama jalan, mengapa tidak membina satu jalan baru dan namakan jalan itu ke nama-nama tokoh berdua (Tun Mahathir dan Tun Abdullah).

Walaupun Tun Dr. Siti Hasmah berpendapat bahawa Tun Dr. Mahathir pasti akan mengeleng-geleng kepala beliau dan mereka berdua (Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah) tidak mengharapkan cadangan ini dan menghargai cadangan tersebut. Bagi kita, rakyat Malaysia, mengubah nama jalan atau nama lapangan terbang bukan satu cara yang terbaik untuk generasi yang akan datang memperingati tokoh-tokoh terkenal negara. Zaman akan terus berubah, malahan kerajaan yang akan datang juga. Setiap jalan di Malaysia tidak pasti akan nama itu akan berkekalan kerana ia boleh ditukar bila-bila masa juga.

Satu contoh yang boleh dilihat ialah Sistem Tren Aliran Ringan (LRT). Setelah penjenamaan dilakukan ke atas STAR-LRT dan PUTRA-LRT kepada LRT Aliran Ampang dan LRT Aliran Kelana Jaya, ramai masih menggunakan nama lama, samada STAR atau PUTRA daripada Ampang Line atau Kelana Jaya Line. Kebanyakan kedai-kedai dan juga tempat membeli-belah menggunakan nama Ampang setelah sekian lama, termasuk juga Stesen PUTRA-LRT Ampang Park. Sekiranya penukaran dijalankan, Ampang Cafe akan menjadi Mahathir Cafe; Ampang Park / Ampang Point akan menjadi Mahathir Park / Mahathir Point.

Untuk mengenang jasa seseorang tokoh tidak semestinya menukar nama jalan atau nama bangunan yang sedia ada. Tidak semua bangunan dan jalan yang akan berkekalan kerana akan ditelan zaman juga, Selagi kita tidak seperti 'kacang lupakan kulit', jasanya dan pengorbannya akan berkekalan sepanjang hayat warganya. Sekiranya ketua UMNO Cheras itu mempunyai banyak cadangan-cadangan yang bernas, mengapa tidak mencadangkan lebih banyak kepada kerajaan untuk diguna pakai supaya memberi manfaat kepada rakyat jelata. Kami, rakyat Malaysia mahukan perubahan dasar-dasar kerajaan, bukannya perubahan nama jalan dan bangunan.

0 comments:

Post a Comment


ShoutMix chat widget

Little Grey Rabbit in the Blogging Communities

blog malaysia: bloggers directory Komuniti Blogger Malaysia The Star R.AGE All Malaysia Info Blogger Project 大馬部落 我的部落 | 我的博客書 WWE Universe Earth Hour Who Wants To Be A Millionaire? Malaysia new RedesignMalaysia.com Blog for FT Cares! Selangor Bloggers Tweeter Malaysia
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates