Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya ditahan polis
15 August 2010 21:38
KUALA LUMPUR, 15 Ogos — Seorang lelaki tempatan hampir putus telinga kanannya selepas diserang 10 lelaki di hadapan restoran miliknya di Kuala Ampang dekat sini awal hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Amiruddin Jamaluddin berkata mangsa yang berumur 30-an dipercayai diserang 10 lelaki yang berumur antara 27 hingga 36 tahun pada pukul 5 pagi ini.
Tiga suspek berjaya ditahan polis di tempat kejadian termasuk seorang Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), katanya pada sidang media di sini hari ini.
Amiruddin berkata polis turut menemui parang pendek di atas tempat duduk kereta milik kepunyaan anggota majlis MPAJ itu.
“Motif pergaduhan belum dapat dikenalpasti dan polis masih mencari tujuh atau lapan orang lagi suspek yang berjaya melarikan diri,” katanya.
Beliau berkata mangsa dihantar ke Hospital Ampang dan ketiga-tiga suspek ditahan reman mulai hari ini hingga khamis.
Sementara itu dalam kes lain, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata tiga hari lepas, kediaman ibu anggota majlis MPAJ itu dipecah masuk tiga lelaki.
Dalam kejadian tengah hari Khamis lepas, ketiga-tiga lelaki itu melarikan barangan kemas bernilai RM10,000.
“Ketika kejadian, mangsa bersama pembantunya berada di dalam rumah itu,” katanya.
Abdul Jalil berkata kedua-dua kes itu tidak mempunyai kaitan. — Bernama
---
Pembangkang lantik ‘gangster’ dalam MPAJ
KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Selangor kecewa dengan laporan media mengenai seorang ahli majlis Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) ditahan bersama-sama tiga lelaki lain ekoran terbabit dalam satu pergaduhan hingga menyebabkan mangsa, seorang lelaki hampir putus telinga dalam pergaduhan yang berlaku di sebuah restoran di Kuala Ampang.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Selangor, Safarizul Mustafa, berkata Pemuda UMNO melihat perkara ini sebagai satu perkara yang memalukan memandangkan orang yang diberi kepercayaan sebagai pembela masyarakat rupanya pembelot dan samseng dalam masyarakat itu sendiri.
”Adakah ini kualiti ahli majlis yang dilahirkan oleh mereka, selamatkah Selangor dengan kepimpinan yang dilahirkan oleh pakatan rakyat dengan mutu ahli majlis seperti ini?
Lebih malang bagi rakyat Selangor sekiranya kepimpinan serta pentadbiran PBT ini diduduki oleh mereka yang rendah nilai moralnya sedangkan rakyat mengharapkan khidmat mereka untuk memajukan masyarakat apa lagi untuk rakyat meletakkan sandaran sebagai pembela kepada permasalahan rakyat,” ujar Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang itu kepada UMNO-online, hari ini.
Tambahnya, semasa tangkapan, polis turut merampas sebilah parang yang terletak di tempat duduk belakang kenderaan suspek.
”Terlalu sukar untuk kita terima hakikat bahawa kita memiliki seseorang ahli majlis yang bersikap ’gangster.
“Sehubungan dengan itu, Pemuda UMNO Selangor mendesak kepimpinan kerajaan negeri mengambil tindakan drastik bagi menangani isu ini dengan sebaiknya,” ujarnya. -MediaUMNO
0 comments:
Post a Comment